Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan sebagai Naib Presiden Pas yang baharu setelah seorang penyandangnya, Datuk Iskandar Abd. Samad menarik diri daripada mempertahankan jawatan itu.

Nama beliau diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh.

Ahmad Samsuri diisytiharkan menang tanpa bertanding bersama dua lagi penyandang Naib Presiden Pas iaitu Idris Ahmad dan Datuk Mohd. Amar Abdullah.

Muktamar sebelah petang bermula kira-kira jam 3 petang selepas berehat dengan majlis ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 di Stadium Tertutup Sukpa di Kuantan, hari ini.

Muktamar itu dimulakan dengan pembentangan laporan tahun lepas oleh Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan kewangan dikemukakan Bendahari Pas Pusat, Razman Zakaria.

Kira-kira jam 4 petang pula bermulanya proses pengundian Jawatankuasa Pas Pusat yang dijangka ditutup jam 7 mlm ini.

Proses pengundian diadakan secara e-undi bagi memilih 29 anggota jawatankuasa Pas Pusat oleh seramai 1,230 perwakilan.

Pengundian dimulakan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, diikuti timbalannya, Datuk Ahmad Yakob; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan Pas Pusat serta kawasan.

Sebelum itu, Mohd Fuad turut mengumumkan jawatan yang menang tidak bertanding diketuai Abdul Hadi selaku presiden dan dan timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast