KUALA LUMPUR – Jakel telah menyerahkan semua dokumen sah berkaitan dengan urus niaga kewangan untuk rujukan dan penelitian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn. Bhd. dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat itu komited untuk terus bekerjasama membantu SPRM seperti yang telah dilakukan sepanjang siasatan dijalankan sehingga hari ini.
Jelasnya, semua urus niaga yang berkaitan adalah tulen dan disokong oleh bukti dokumen yang sahih.
“Jakel tidak pernah terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa jua kegiatan seperti itu pada masa akan datang.
“Jakel komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan kami ingin menekankan bahawa kami amat sedar bahawa tidak ada apa-apa kebaikan daripada amalan perniagaan yang tidak sah dan tidak beretika.
“Jakel memandang sebarang tuduhan yang mengaitkan kami dengan aktiviti pengubahan wang haram adalah tuduhan yang sangat serius,” kata kenyataan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dibuat SPRM semalam.
Badan pencegahan rasuah itu telah menyenaraikan 41 syarikat dan pihak yang didakwa menerima dana dipindahkan daripada akaun Najib yang disyaki wang 1MDB yang sedang cuba dibawa balik oleh pihak berkuasa itu.
Menurut Jakel lagi, perniagaan teras yang diceburi syarikat itu selama ini adalah berasaskan produk tekstil dan barangan tekstil berkaitan dengan perdagangan runcit dan borong jual beli dijalankan tanpa prasangka, yang mana semua pelanggan dilayan secara professional dan baik.
“Segala transaksi jual beli terbabit adalah dengan berdasarkan invois dan semua pembayaran diterima dengan tiada syak wasangka.
“Ingin kami jelaskan bahawa urus niaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang kami terima dari mantan perdana menteri dan juga dari pejabat mantan Perdana Menteri (PMO) tersebut.
“Ia berkaitan urus niaga mereka untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi semua program-program amal yang dianjurkan oleh beliau (Najib) dan PMO (untuk imam, tahfiz dan termasuk semua masjid-masjid di seluruh Malaysia sebanyak lebih 7,000 masjid, dan juga bekalan kain untuk mangsa-mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014),” kata kenyataan itu.
Malah, Jakel juga menegaskan, segala transaksi tersebut berlaku sebelum sebarang isu berkaitan dengan 1MDB timbul dalam pengetahuan mereka.
Justeru Jakel berkata, pihaknya hanya menerima pembayaran setelah kami menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan.
“Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima dengan tanpa prasangka dan kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut adalah diperolehi secara tidak sah.
“Sebarang isu pengubahan wang haram adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan pihak kami.
“Pendirian kami sangat jelas, iaitu untuk memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak SPRM bagi membersihkan nama baik Jakel. Hanya kepada Allah kita berserah,” kata syarikat itu.- MalaysiaGazette