Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi (tengah) diiringi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhamad Said Jonit (kiri) ketika hadir pada Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Persiaran Datuk Haji Ismail Hassan, Kluang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2019.

KLUANG – Program Reformasi Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) merupakan medan terbaik buat ahli jemaah pengarah baharunya mengeratkan hubungan dengan semua peringkat kepimpinan selepas dilantik pada 23 Januari lepas.

Menurut Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Muhamad Said Jonit, program yang sudah masuk kali kedua penganjurannya itu melibatkan 29 daripada kesemua 279 kawasan peladang di seluruh negara.

MGF22062019_PROGRAM REFORMASI PELADANG15
Temubual bersama Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhamad Said Jonit selepas Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Persiaran Datuk Haji Ismail Hassan, Kluang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2019.

“Minggu depan adalah penganjuran ketiga program ini yang akan diadakan di Kelantan. Ia merupakan salah satu cara Ahli Jemaah Pengarah baharu NAFAS yang dilantik merapatkan hubungan dengan kepimpinan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Kita juga akan mengemblengkan segala tenaga yang ada untuk maklumkan kepada ahli peladang bahawa NAFAS mahu memulakan satu reformasi terhadap mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Persiaran Dato’ Haji Ismail Hassan kelmarin.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi.

MGF22062019_PROGRAM REFORMASI PELADANG16
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhamad Said Jonit (dua kanan) melakukan senaman aerobik sempena Program Reformasi Peladang Daerah Kluang 2019 di Persiaran Datuk Haji Ismail Hassan, Kluang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2019.

Turut hadir, Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Datuk Ali Shikh Ahmad.

Pada 1 Jun tahun lalu, pertubuhan itu ‘digantung’ perlembagaannya selepas menghadapi masalah serius dalam barisan kepimpinan ahli jemaah pengarah dan pengurusan dari segi kompetensi kebertanggungjawaban serta ketelusan pengurusan hal ehwal NAFAS.

Mengulas lanjut, Muhamad Said berkata, NAFAS turut mempunyai pelbagai perancangan yang diatur pada masa hadapan bagi memastikan ahli peladang menerima pendapatan yang setimpal dengan usaha keras mereka.

“Kita tidak mahu lagi dalam kalangan peladang ada mereka yang meminta-minta tetapi sebaliknya berjaya menjadikan pekerjaan peladang ini sebagai pekerjaan yang memberi pendapatan lebih dari apa yang diterima sekarang,” ujarnya.

Program Reformasi Peladang yang mendapat kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu menjadi platform buat ahli peladang serta masyarakat setempat mendapatkan informasi-informasi terkini berkaitan pertanian terutamanya daripada LPP, PPN serta PPK disamping memperkenalkan produk-produk keluaran jenama Peladang. -MalaysiaGazette