Ti Lian Ker

KUANTAN – MCA tidak menutup pintu untuk berunding dengan mana-mana parti termasuk DAP dan Pas, kata Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini Pas belum lagi bersama MCA di meja rundingan untuk berbincang tentang soal kerjasama.

Katanya, MCA sebelum ini hanya bertentangan dengan Pas dalam isu-isu yang menjejaskan komuniti Cina termasuk dalam soal pelaksanaan hukum hudud.

“Dalam soal hubungan antara parti, kami bukanlah bermusuhan secara menyeluruh.

“Dalam suasana politik negara yang huru-hara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, MCA perlu menilai keadaan dan mempertimbangkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya kepada Sinchew Dailu.

Selain UMNO, satu lagi parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC telah menghadiri Muktamar Pas 2019 di Kuantan, Pahang.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin memberitahu bahawa selain mengukuhkan kerjasama Pas dengan UMNO, parti yang memerintah dua negeri di Pantai Timur Semenanjung itu juga mahu merapatkan hubungan dengan parti komponen BN yang lain dalam usaha membentuk perikatan pembangkang yang kuat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, pintu Pas sentiasa terbuka untuk kerjasama dengan MCA. – MalaysiaGazette