Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 2019 di Menara Hasil, Cyberjaya. foto IQBAL BASRI, 25 JUN 2019

CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan penerima wang secara haram daripada syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak terlibat secara langsung dengan skandal kontroversi itu.

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua penerima terbabit mengetahui wang berkenaan datang daripada syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

“Kita perhatikan mereka tiada kaitan dengan skandal 1MDB tapi mereka terima dan tahu puncanya bahawa cek itu adalah dari 1MDB.

“Kebanyakan tidak terlibat dalam kegiatan jahat Jho Low, Arul Kanda dan lain-lain,” katanya ketika hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Menara Hasil Cyberjaya hari ini.

Turur hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Aminuddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mendedahkan lebih banyak senarai penerima wang 1MDB akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antaranya, persatuan wartawan termasuk jurugambar dan surat khabar.

“Saya percaya ada lagi senarai lain dan saya minta mereka yang terima wang daripada 1MDB, yayasan atau kelab kebajikan 1MDB termasuk ada persatuan wartawan dan juga jurugambar di Pulau Pinang yang menerima wang ini harus kembalikan.

“Tidak payah tunggu SPRM beku akaun ataupun keluarkan senarai,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang media mendedahkan agensi penguatkuasa itu telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut Latheefa, antara transaksi paling tinggi membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia membabitkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kesemua permohonan itu adalah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada hari ini, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai depan. -MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

 

TERKINI : PERKIDA! JAKEL! HABIB JEWELS! Dalam Senarai Saman SPRM Kes Dana 1MDB – Latheefa Koya