Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) ketika hadir ke mahkamah atas pertuduhan berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Jalan Duta menolak permohonan peguam Datin Seri Rosmah Mansor untuk tidak menghadiri pengurusan kes penyelewengan projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak yang ditetapkan pada 24 Julai ini.

Malah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu diperintahkan supaya hadir untuk pengurusan kes berkenaan, iaigtu pertuduhan rasuah melibatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Azura Alwi mendengar hujah peguambela Rosmah, Akberdin Abdul Kadir sebelum membuat keputusan menolak permohonannya.

Akberdin dalam permohonannya meminta mahkamah membuat pengecualian kepada Rosmah pada tarikh pengurusan kes itu yang menurutnya hanya formaliti.

“Yang Arif, jika mahkamah membenarkan, kami ingin meminta agak anak guam saya diberi pengecualian daripada menghadirkan diri ke pengurusan kes seterusnya kerana tarikh itu hanya untuk pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Bagaimanapun Azura dalam keputusannya menjelaskan bahawa Rosmah perlu hadir kerana ia melibatkan pemindahan kesnya ke mahkamah lebih tinggi.

“Pertimbangan mungkin boleh dibenarkan jika permohonan untuk pengurusan kes melibatkan pertukaran dokumen antara peguam tetapi tidak dalam pemindahan kes,” tegasnya.

Dalam pada itu pasukan pembelaan dan Timbalan Pendakwa Raya diminta supaya menghadirkan diri untuk sebutan kes berkenaan pada Jumaat ini sebagai memberi penerangan berkenaan permohonan pendengaran di Mahkamah Tinggi.

Namun Azura memutuskan Rosmah dikecualikan daripada menghadiri sebutan kes itu.

Pada 20 Jun lalu, Rosmah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Mac lalu yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 10 April lalu beliau dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki menerima RM5 juta sebagai suapan wang rasuah daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebelum mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Pada 15 November lalu Rosmah turut didakwa meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan yang sama sebagai dorongan membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek berkenaan secara rundingan terus dari Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara Mac dan April 2016 serta September 2017.- MalaysiaGazette