Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Balu Allahyarham Pit Shafice Ibrahim iaitu Hairina Mohd Sani Umar salah seorang anggota Imigresen Malaysia yang berkhidmat selama 36 tahun yang bertugas di Depot Tahanan Imigresen KLIA pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2019

PUTRAJAYA – Pengeluaran visa kepada pelancong luar negara masih berjalan seperti biasa meskipun syarikat swasta yang mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dalam talian itu mempunyai kes jenayah rasuah melibatkan seorang bekas menteri.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pengeluaran dokumen perjalanan itu tidak boleh dihentikan kerana saban hari Malaysia dikunjungi ramai pelancong dari luar negara khususnya dari China.

“Setakat hari ini proses pengeluaran visa masih berjalan, sebab kita tak boleh hentikan pengeluarannya kerana setiap hari akan ada pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat yang datang ke negara kita.

“Cuma, status syarikat yang menguruskan itu belum dapat ditentukan lagi, sebab ada kes dan siasatan sedang dibuat. Sementara kita belum ada gantian (syarikat) untuk menguruskan visa itu.

“Pelancong yang datang dari China bilangannya besar, jadi sementera kes itu belum selesai, kita benarkan pengurusan VLN (Sistem Visa Luar Negara) oleh syarikat ini sementera tindakan-tindakan sudah pasti dilakukan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri, Jabatan Imigresen Malaysia hari ini.

Isnin lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk memberi keterangan berkaitan kes sebuah syarikat swasta yang mengendalikan urusan kemasukan pelancong dari China.

Syarikat swasta berkenaan diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2016 bagi mengendalikan VLN dalam talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

Namun tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Syarikat itu juga diberi hak memungut fi, iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa menjadi hasil kerajaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid Hamidi akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok