Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bercakap kepada media selepas hadir bagi mendengar pertuduhan Bekas Timbalan Perdana Menteri yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 26 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal berdepan 33 lagi pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, berkata pertuduhan itu secara keseluruhannya berjumlah RM47 juta membabitkan dakwaan yang sama.

“Secara keseluruhannya akan terdapat lebih 40 pertuduhan dan ini amat serius dan memandangkan pertuduhan telah selesai, kami akan biar mahkamah yang putuskan.

“Ini bukan kes rasuah yang biasa kerana ia melibatkan bekas pemimpin pada ketika kes ini berlaku. Jumlah yang terlibat juga sangat tinggi, jadi ia memberi satu impak kepentingan awam,” katanya selepas menyaksikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu hari ini berdepan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Manakala baki 33 pertuduhan lagi akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Menurut Latheefa lagi, kesemua pertuduhan melibatkan mata wang Singapura.

“Dalam pertuduhan itu, jumlah yang didakwa adalah daripada $SG300,000 hingga jumlah jutaan,” katanya lagi.

Isnin lalu, SPRM telah menahan Ahmad Zahid selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menerima atau meminta rasuah.

Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda,  atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette