KUALA LUMPUR- Kerajaan bersetuju mengekalkan kadar semasa surcaj tarif elektrik sebanyak 2.55 sen/kwj untuk pengguna bukan domestik khususnya pengguna komersial dan industri bagi tempoh 1 Julai -31 Disember 2019.

Pengguna domestik bagaimanapun tidak dikenakan sebarang surcaj tarif elektrik.

Menurut Suruhanjaya Tenaga, hasil semakan mekanisme Imbalance Cost Pass -Through (ICPT) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari lalu, terdapat peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Ini telah menyebabkan surcaj ICPT berjumlah kira-kira RM1.6 bilion atau 2.94 sen/kwj.

Antara penyumbang utama peningkatan kos adalah peningkatan harga purata arang batu kepada AS$99.235/tan metrik berbanding unjuran awal iaitu AS$75/tan metrik.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia berasaskan pasaran global,” katanya.

Bagaimanapun dalam tempoh sama, melalui kaedah IBR RP2, terdapat penjimatan daripada pelarasan hasil Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berjumlah RM336.7 juta, kata Suruhanjaya Tenaga.

Kerajaan dengan itu memutuskan supaya penjimatan tersebut digunakan untuk mengurangkan surcaj ICPT.

Ini ditambah dengan peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik yang berjumlah RM107.16 juta.

“Kerajaan menetapkan baki surcaj ICPT sebanyak RM1.148 billion atau bersamaan 2.55 sen/kwj di semenanjung bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember 2019.

“Sebagai langkah meminimumkan kesan kenaikan kos penjanaan elektrik, para pengguna digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah menggunakan elektrik dengan cekap,”katanya. -MalaysiaGazette