Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara (PAN) di Taman Kejiranan Air Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) belum membuat sebarang keputusan untuk menjual kepentingan syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines (MAS).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, cadangan menjual MAS telah dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah Khazanah akhir tahun lepas.

“Belum, sebaliknya perkara ini telah dibincang dan dimaklumkan dalam mesyuarat lembaga Khazanah akhir tahun lepas.

“Apa pun cadangan yang dibangkitkan, kita mahu Khazanah untuk mengkaji lanjut tentang pilihan ini dan lihat apa pilihan terbaik untuk memastikan syarikat penerbangan terus dikekalkan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara (Amanah) di Taman Kejiranan Ayer Panas, Jalan Semarak, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lalu bahawa MAS perlu mengekalkan identitinya sekiranya ia dijual.

Dr Mahathir juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan berhati-hati dalam pelan perubahan yang hanya dilakukan untuk memperkukuhkan MAS.

Azmin berkata, cadangan penjualan MAS juga akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet sebelum kepentingan syarikat penerbangan itu dilepaskan kepada pihak ketiga.

“Kajian itu akan dibentangkan dalam mesyuarat. Tiada jangka masa tertentu kajian itu dibuat.

“Kerajaan akan membenarkan Khazanah sendiri menjalankan kajian itu dan kemudian bentang kepada lembaga syarikat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast