Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap kepada media selepas Majlis Raya Bersama Bossku di Laman Kayangan Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2019.

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu meminta persetujuan Majlis Tertinggi UMNO atau mana-mana pihak sekiranya beliau berhasrat untuk kembali bertugas sebagai presiden parti Melayu itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebaliknya soal kedudukan Ahmad Zahid selaku Ahli Parlimen Bagan Datoh itu hanya boleh ditentukan oleh dirinya sendiri.

“Soal kedudukan Datuk Zahid adalah sesuatu yang hanya boleh diputuskan oleh Datuk Zahid sendiri sebab, bila dia bercuti atas keputusan yang dibuat secara peribadi.

“Sebagaimana kita tahu mengikut Perlembagaan (UMNO) Datuk Zahid berhak untuk memimpin UMNO dalam tempoh beliau telah diberi mandat dan tempoh itu masih berterusan.

“Soal beliau nak kembali berkhidmat atau bertugas sebagai presiden parti adalah tertakluk kepada keputusan dirinya sendiri, tak perlu persetujuan Majlis Tertinggi UMNO ataupun pihak-pihak lain sebab dia berhak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Raya Bersama Bossku di Laman Kayangan, di sini, hari ini.

MGF29062019_HARI RAYA BOSSKU08
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar kenangan dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Raya Bersama Bossku di Laman Kayangan Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2019.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid hari ini bahawa beliau sedang menilai maklum balas akar umbi parti itu sebelum membuat keputusan untuk kembali menjalankan tugas selepas enam bulan bercuti.

Ia susulan daripada desakan pimpinan dalaman khususnya daripada ketua-ketua UMNO bahagian yang mahu Ahmad Zahid kembali bertugas menerajui parti.

Mengulas lanjut, Najib juga berkata, sebelum Ahmad Zahid membuat keputusan untuk kembali, beliau sewajarnya membuat tinjauan dalam kalangan akar umbi agar keputusan yang dilakukan tepat.

“Keputusan dia bercuti itu adalah keputusan yang dibuat sendiri, atas tubuh badan dia sendiri, jadi kita menyerahkan perkara ini kepada beliau untuk buat keputusan atas kepentingan parti, keputusan yang tepat supaya kita dapat teruskan perjuangan kita.

“Itu Datuk Zahid kena tinjau dulu dan untuk dia buat keputusan yang tepat .Tapi dari segi Perlembagaan (UMNO) memang dia berhak untuk kembali bertugas pada bila-bila masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette