UMNO
Azalina Othman

KUALA LUMPUR- Usul yang dibawa kerajaan mahu setiap ahli parlimen mengisytiharkan harta dikritik oleh pembangkang.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menganggap usul berkenaan seolah-olah melepaskan batok di tangga.

Ini kerana keberkesanan itu mungkin gagal ekoran Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak mempunyai kuasa.

“Kalau nak buat… buatlah betul-betul. Usul ini tidak sah sebab tidak akan mempunyai keberkesanan. Buatlah secara teliti agar ahli-ahli Parlimen dari semua pihak dapat membantu kerajaan.

“Janganlah nak buat hanya sekadar untuk mengejar populariti sahaja. Menjadi populis kepada rakyat kononnya dah janji pada mereka sedangkan banyak lagi janji-janji lain yang tak dibuat,” katanya dipetik dari UMNO Online ketika membahaskan usul yang sama di Parlimen hari ini.

Tegas Azalina, punca kuasa mesti betul kerana usul yang dibuat tidak ada punca kuasa.

“Yang berlaku hari ini hanya kuasa yang kononnya boleh menyita dan ini dianggap tidak adil. Niat kerajaan mungkin murni tetapi caranya tak betul.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar ia lebih berkesan sama ada meminta Akta SPRM atau buat satu undang-undang baru.

“Nasihat saya, buatlah cara yang betul, buatlah tindakan yang betul, buatlah pindaan pada peraturan mesyuarat atau wujud undang-undang baru ataupun pindaan kepada Akta SPRM. Kita mempunyai masa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette