Dr Zahari Husin

KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan diminta agar tidak terjebak dengan taktik peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual barangan tiruan Perodua.

Ini kerana, produk dan alat ganti tulen Perodua boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan memberikan ketenangan minda yang sepenuhnya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, sebagai alternatif, Perodua juga menawarkan produk dan alat ganti ProGanti, yang lebih mampu milik dan tetap diuji serta diperakui.

“Beli dan pakailah produk dan alat ganti tulen Perodua daripada stokis-stokis kami yang sah atau mana-mana pusat servis
Perodua di seluruh negara.

“Kami amat mengambil berat mengenai anda dan kenderaan anda. Ini merupakan sebahagian daripada pengalaman Perodua, yang menjadi bukti kesungguhan dan iltizam kami untuk sentiasa mengatasi jangkaan dan mengekalkan kesetiaan anda,” tambahnya.

Zahari berkata, dalam usaha menghalang perkembangan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, Perodua mengambil inisiatif menganjurkan perjumpaan bersama pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di ibu pejabatnya di Sungai Choh semalam.

Katanya, Perodua sedar terdapat banyak produk dan alat ganti tiruan di pasaran yang menggunakan jenama Perodua dan sebahagiannya sukar dibezakan dengan yang tulen.

Ia termasuk minyak pelincir, penapis minyak, penyerap kejutan (shock absorbers) dan pad brek.

Pembelian tiruan ini amat membimbangkan kerana ia merupakan barangan kritikal.

“Pelanggan boleh terpedaya membeli dan menggunakan barangan tiruan ini pada kenderaan mereka – ini bukan sahaja akan membatalkan waranti tetapi boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan kenderaan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette