Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Tidak ada ‘penjenayah’ yang akan mempamerkan harta curian mereka, tegas pengerusi badan Perjuangan Negara Anti Rasuah (Perjuangan Negara), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Justeru, katanya, usul kerajaan di Parlimen semalam berhubung Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan aset dan harta mereka, dibuat atas fokus yang salah, tidak menyeluruh dan tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pelaku rasuah.

Kata beliau, kerajaan seharusnya memberi fokus ke arah memburu, menangkap dan menghukum mereka yang rasuah, salah guna kuasa dan memperkayakan diri dan keluarga mereka ketika berkuasa dahulu dan sekarang.

“Tidak ada penjenayah akan mempamerkan harta curian. Makanya tugas pihak berkuasalah memburu dengan mempelbagai usaha dan taktik, cara dan undang-undang baharu kerana kita juga tahu penjenayah di kalangan pemimpin ini pandai menyelamatkan diri dari tindakan.

“Justeru, fokus kerajaan seharusnya ialah mencari jalan ke arah itu, bukan hanya sekadar membentang undang-undang seperti ini yang tidak memberi mana-mana kuasa tambahan, proaktif dan kreatif kepada cabang pemerintah menangkap mereka yang rasuah dan memiliki harta haram hasil rasuah dan pecah amanah semasa berkuasa.

“Adalah lebih berkesan sekiranya RUU digubal memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menangkap sesiapa sahaja yang didapati memiliki dan membelanjakan harta melebihi pendapatan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Menurut Mohamad Ezam, tidak sukar untuk menyiasat mereka yang telah menimbun harta haram kerana secara terangan memiliki rumah dan mahligai dalam serta luar negara.

Mereka juga, katanya, suka dan sering mempamerkan harta haram dengan membelanjakannya membeli kereta mewah, membiayai kenduri anak menantu bergaya mewah.

Beliau menjelaskan, LHDN mempunyai asas dengan sedikit pengubahsuaian terhadap kuasa sedia ada pada mereka yang membolehkan siasatan dan dakwaan dibuat terhadap sesiapa sahaja disyaki mengumpul harta secara haram tanpa perlu diisytiharkan dengan betul atau tidak.

Dengan kuasa tambahan yang diberikan Parlimen, LHDN boleh memulakan siasatan tanpa perlu laporan terhadap penjenayah terbabit.

“Dalam erti kata lain kita memberi kuasa kepada LHDN bertindak pro aktif. Ini juga merubah orientasi mereka untuk fokus mencari setiap yang telah mengumpul harta secara haram dengan kadar segera.

“Langkah ini juga memberi ruang dan kuasa kepada LHDN untuk memain peranan membantu SPRM dalam usaha menangkap penjenayah rasuah kerana Akta SPRM hanya fokus kepada pemberian dan penerimaan rasuah yang sukar dibuktikan di mahkamah, proses pembuktian yang rumit dan menyebabkan ramai perasuah lepas bebas.

“RUU baru deklarasi harta dan aset ini juga tidak menyeluruh kerana hanya membabitkan 222 Ahli Parlimen. Bagaimana dengan perasuah lain yang menduduki jawatan strategik di GLCs, badan berkanun dan lain-lain,” soal beliau.

Mohamad Ezam berkata, umum tahu mereka juga terdedah kepada amalan rasuah dan ramai dalam kalangannya memiliki harta haram dalam dan luar negara melebihi pendapatan.

Katanya, banyak projek dan perolehan dalam GLC sendiri berlaku kecurangan mencecah berbilion ringgit dan ke mana perginya duit itu kalau tidak kepada Pengerusi, CEO,COO GLCs yang keparat itu.

Beliau menjelaskan sebagai NGO, Perjuangan Negara menyeru kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan fokus yang betul iaitu berusaha bersungguh-sungguh, kreatif dan proaktif mencari jalan menangkap penjenayah rasuah itu.

“Bukan sekadar RUU yang bunyinya sahaja gah dan menggemparkan, tetapi nanti setelah bertahun dilaksanakan penjenayah rasuah masih terus lepas bebas,” ujarnya. – MalaysiaGazette