garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengarahkan atau membenarkan petugas parti menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengarah Kempen PH bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Ng Sze Han berkata, tindakan seperti itu adalah tidak wajar  dan tidak harus berlaku.

“Saya merujuk kepada laporan media mengenai insiden di mana gambar Yang di-Pertuan telah digunakan semasa kempen Pilihanraya Kecil Kuala Kubu Baharu.

“Dilaporkan gambar diletakkan atas sebuah kenderaan yang membawa sepanduk dan dibelakangnya tertera bendera PH.

“Sebagai pengarah kempen PH PRK Kuala Kubu Baharu, saya ingin menegaskan pihak kami tidak pernah mengarahkan atau membenarkan tindakan ini oleh mana-mana petugas kempen PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Kedua-dua individu terbabit direman tiga hari bermula semalam.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan siasatan yang dijalankan oleh polis berhubung perkara itu.

Tambah beliau, pihaknya turut bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan kertas siasatan yang dibuka pihak berkuasa itu. – MalaysiaGazette