Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah. foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – “Adakah dia bersalah? Kalau belum dibuktikan bersalah, kenapa lagi?”

Itu reaksi veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah apabila ditanya apakah sesuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali meneruskan tugasnya selepas bercuti menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah berjumlah hampir 88 kes berkaitan rasuah.

“Adakah dia bersalah? Saya tak kata ok ke tak. Apakah dakwaannya serius (88 kes) bagaimanapula dengan orang lain?

“Lagipun dalam perlembagaan parti tiada peruntukan halang mana mana individu aktif.

“Pemimpin datang dan pergi. Kita lihat apa mahkamah putuskan. Kita ada rule of law tapi UMNO perlu menyelesaikan (isu),” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya jika keputusan mahkamah mensabitkan kesalahan Zahid, bekas Menteri Kewangan itu merangkap Ahli Parlimen Gua Musang menegaskan Ahmad Zahid harus pergi dari UMNO.

“Dalam MIC pun pernah berlaku (krisis pemimpin dituduh)..MCA pun pernah. DAP juga pernah berdepan masalah sama.

“Boleh saya sumbat kamu dalam penjara kalau saya tuduh kamu melakukan jenayah (tanpa dibuktikan),” soalnya.- MalaysiaGazette