Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) dan Mantan Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Datuk Setia Dr. Ibrahim Lembut (kiri) beramah mesra selepas Program Hari Terbuka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Dewan Tan Sri Datuk Setia Dr. Ibrahim Lembut, Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 04 JULAI 2019.

PUTRAJAYA – Kerajaan kini dalam proses untuk menyeragamkan enakmen undang-undang jenayah syariah di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Beliau berkata, penyeragaman itu merupakan salah satu usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentranformasikan dari segi bentuk hukuman agar tidak mencemarkan imej agama Islam.

Katanya, semua sedia maklum dalam mengendalikan kesalahan kes yang sama, tetapi menetapkan hukuman berbeza-beza di setiap negeri sehingga mengelirukan orang ramai.

“Pada saya, hukuman berbeza-beza ini tidak baik untuk menunjukkan keadilan dalam Islam.

“Dengan itu, salah satu prioriti saya ialah saya mengarahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya melakukan penyelarasan dan keseragaman.

“Di mana penyelarasan ini kita akan menjadikan Akta Wilayah Persekutuan sebagai model,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Terbuka JKSM di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie JKSM< Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut Dr. Mujahid, pihaknya Akan mengambil dan melihat enakmen di negeri-negeri jika ada yang terbaik untuk diambil sebagai panduan dan diselaraskan di semua negeri.

Katanya, bagi kerajaan tugasan itu merupakan cabaran yang besar kerana ia melibatkan sultan dan Raja-Raja Melayu di setiap negeri, kerana mereka mempunyai kuasa.

“Bagaimanapun, saya telah maklumkan kepada Paduka Tuanku Sultan di setiap negeri dan mereka teruja menyokong usaha kita ini secara asas, cuma perinciannya saya perlu ada rangka kerjanya,” katanya.

Selain itu, kata Dr. Mujahid, beliau akan mengadakan pertemuan dengan anggota Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama, Yang Dipertua Majlis Agama dan sultan di setiap negeri untuk membincangkan usaha itu. – MalaysiaGazette