KUALA LUMPUR – Hutang rasmi negara sudah mencecah RM800 bilion hari ini, dakwa Datuk Seri Najib Razak sambil mengucapkan syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Secara sinikal, bekas perdana menteri itu berkata, idaman PH untuk menjadikan hutang rasmi negara kepada RM1 trilion semakin hampir.

“Hari ini, Lim Guan Eng pinjam lagi RM3.5 bilion. Bayar balik tahun 2034.

“Hari Khamis lalu, Menteri Kewayangan pinjam lagi RM4 bilion. Bayar balik tahun 2039.

“Maka hutang rasmi negara hari ini naik ke RM800.9 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah BN,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, jumlah itu belum lagi mengambil kira duit RM82 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan PH.

Ia juga, belum lagi ambil kira juga aset-aset negara yang telah dan sedang dijual secara lambak.

Menurut Najib, selepas membuat banyak pinjaman tahun lalu, kerajaan PH terus menambah hutang negara pada tahun ini dengan kadar yang jauh lebih pantas berbanding semasa pemerintahan Barisan Nsional dulu.

“Dalam setengah tahun sahaja ini, PH telah pinjam RM77.8 bilion. RM70.5 bilion pinjam dari sukuk tempatan dan RM7.3 bilion bon samurai dari Jepun tapi hanya bayar balik hutang RM17.7 bilion sahaja,” tambahnya.

Sekarang, katanya, Guan Eng di China untuk kuat usahakan Bon Panda pula. Pinjam dari China.

Kalau trend setengah tahun ini berterusan, kerajaan PH akan tambah lagi RM140 bilion kepada hutang negara untuk tahun 2019 sahaja.

“Silap-silap hutang rasmi negara boleh sampai RM900 bilion pada akhir tahun ini dan RM1 trilion pada pertengahan tahun depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette