Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto FAREEZ FADZIL, 17 JUN 2019

SEREMBAN – Tujuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluluskan usul bagi mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing adalah untuk memastikan semua Ahli Parlimen tidak bermewah-mewah dengan duit rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar berkata, Pas yang kini bekerjasama dengan UMNO tidak perlu risau sekiranya pemimpin mereka bersih daripada rasuah.

Malah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu boleh bertindak ke hadapan bagi membuktikan mereka berada di pihak yang benar.

“Dia (Pas) yang tentukan ketelusan dan anti rasuah tapi takut nak isytihar harta sebab apa? Kemudian bagi alasan komunis.

“Saya pernah baca dasar kapital dan saya tidak ada lihat (teori komunis dan sosialis),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Minum Petang dan perjumpaan bersama pimpinan parti Negeri Sembilan dan Melaka, hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata teori isytihar harta secara umum adalah teori komunis dan sosialis.

Malah katanya, pengiystiharan harta itu sendiri perlu dibuat mengikut keadaan dan bukan satu yang mutlak.

Tambah Anwar, langkah ini perlu kerana mengikut beliau ada beberapa pemimpin yang mempunyai harta yang berlebihan.

“Pengisytiharan harta ini untuk memastikan harta yang diperolehi itu secara halal dan teratur dan tidak ambil tanah, balak, saham, atau projek samada UMNO, PKR, DAP atau Pas.

“Kalau kita dengan maksud untuk mengelakkan daripada salah guna, orang akan tanya apakah sebab beberapa pemimpin Pas bimbang apabila didedahkan kekayaan mereka itu terlalu banyak ada tanah, balak, saham,” katanya lagi.

Semalam, pada sesi Dewan Rakyat, usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing mendapat undi sebulat suara semua ahli Parlimen.

Bagaimanpun Pas berkata, parti itu tidak akan menyokong usul berkenaan kerana Islam melarang umatnya berbuat demikian. -MalaysiaGazette