Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Haziq Abdullah Abdul Aziz boleh merayu kepada Lembaga Disiplin PKR yang memecat keanggotaan beliau dalam parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, membiarkan pemuda itu mengemukakan rayuannya terhadap keputusan parti itu.

“Dia ada proses. Ahli yang dipecat boleh merayu dan itu kepada Lembaga Disiplin bukan kepada saya,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Haziq yang mahu merayu kepada parti terhadap keputusan pemecatannya berikutan pengakuan bahawa dirinya merupakan individu yang bersama seorang mirip dalam video semburit.

Pada Rabu lalu Lembaga Disiplin PKR memecat Haziq Abdullah yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Lembaga Displin PKR, Datuk Ahmad Kasim dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas keputusan sebulat suara dicapai dalam mesyuarat Biro Politik parti tersebut.

Pada 19 Jun lalu, Biro Politik PKR memberi Haziq Abdullah tempoh selama 14 hari untuk memberi surat tunjuk sebab, rentetan dari kemelut video tersebut yang tular di media sosial.

Haziq Abdullah yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri turut dipecat pada 20 Jun lalu. – MalaysiaGazette