Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap semasa sidang media selepas pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji janji manifesto pilihan raya parti itu menerusi peranan parti dalam gabungannya.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jawatankuasa itu akan ditubuh selepas parti berkenaan sudah lebih setahun mentadbir negara.

“Berkenaan (janji-janji) manifesto itu, satu tahun sudah berlalu, ada yang sudah dapat kita laksanakan.

“Tapi sudah sampai masa untuk mengkaji bagaimana melaksanakan semua janji-janji itu.

“Untuk itu sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan supaya menetapkan bidang tugas mengenai bagaimana melaksanakan janji-janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mahathir menegaskan, beliau bersetuju dengan gesaan supaya diadakan sesi khas soal jawab perdana menteri di Parlimen.

Katanya, Ahli Parlimen boleh mengemukakan soalan kepadanya dan jawapan terus akan diberikan di Dewan Rakyat pada setiap minggu.

“Setiap Rabu, saya akan hadir di parlimen untuk menjawab soalan-soalan.

“Bukan salah saya jika saya tidak ke Parlimen kerana tiada soalan untuk saya.

“Sekarang, walaupun tiada soalan untuk saya, namun saya masih kena pergi,” katanya lagi.

Pada 4 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata sesi khas soal jawab akan mula dilaksanakan pada sidang Dewan Rakyat akan datang yang bermula Oktober depan.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, waktu pertanyaan kepada perdana menteri dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini. – MalaysiaGazette