Suboh Md Yassin. foto IQBAL BASRI, 11 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-42 perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. berkata beliau dipanggil semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkenaan siasatan penyelewengan selepas kerajaan bertukar pada Mei tahun lalu.

Pernah memberi keterangan pada tahun 2015, namun menurut Datuk Suboh Md. Yassin, tiada arahan yang sama dikeluarkan meskipun telah pulang ke tanah air selepas berada di luar negara beberapa ketika.

Suboh yang merupakan bekas Pengarah SRC International berkata demikian ketika sesi soal balas oleh peguam bela bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Apabila kamu kembali pada tahun 2015 ke Malaysia, adakah kamu sedar kamu masih dikehendaki oleh SPRM?

Suboh: Saya tidak tahu.

Shafee: Ada tidak kamu dicari oleh SPRM selepas pulang?

Suboh: Tidak ada.

Suboh, 68, sekali lagi dirujuk dengan dokumen perbankan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International dan Pengarah Urusannya, Nik Faisal Ariff Kamil dengan AmIslamic Bank pada 2014 dan 2015.

Situasi itu mencetuskan ketegangan antara Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram dan pasukan peguam bela Najib untuk seketika.

Meskipun Suboh bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa tandatangan Nik Faisal pada dokumen perbankan yang dikemukakan di mahkamah telah dipotong dan ditampal namun menurut Shafee, saksi sepatutnya tidak lagi diajukan soalan tersebut.

Sitham: Jadi pertamanya saya tunjukkan kamu satu set mengandungi 4, kemudian tunjukkan kamu 10. Melihat kepada tandatangan ini, adakah kamu bersetuju kepunyaan Nik Faisal telah salin dan tampal (copy paste), sama seperti kamu?

Suboh: Ya

Sitham: Jadi ia mungkin bermaksud Nik Faisal tidak menandatangani semua 14 dokumen Rentas?

Suboh: Ya

Untuk rekod, Suboh pada minggu lalu bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa semua tandatangan beliau pada dokumen (soft copy) telah dipotong dan ditampal dari tandatangan asal. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.