Presiden Empiricial Malaysia, Anina Saadudin bercakap pada sidang media sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Hotel Bayview, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 06 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anina Saaduddin mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melantik seorang transgender bagi jawatan ahli Country Coordinating Mechanism (CCM), Rania Zara Medina.

Presiden Empirical Malaysia itu berkata, kerajaan seharusnya menolak individu sebegitu dan tidak mengangkat golongan LGBT.

“Rania Zara Medina adalah ratu transgender dan aktivis yang memperjuangkan hak transgender. Apakah Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Malaysia mahu menerapkan budaya transgender sebagai norma hidup sihat di negara Islam ini?

“Kenapa Tun Mahathir (Mohamad) gagal mengawal kerajaannya sebagaimana dipikul baik oleh Barisan Nasional selama ini,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Anina turut mempersoalkan niat sebenar kerajaan atas lantikan Rania Zara untuk jawatan ahli CCM.

“Apakah ini yang dinamakan perjuangan Selamatkan Malaysia? Selamatkah aqidah umat Islam dan budaya hidup rakyat Malaysia di bawah PH?,” soal Anina lagi.

Menurut satu kenyataan, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata lantikan Rania Zara adalah mengikut prosedur dan lantikan adalah disebabkan beliau adalah daripada golongan LGBT.

Isu pelantikan Rania Zara Medina mendapat perhatian ramai apabila dakwaan beliau adalah seorang transgender yang dilantik melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.

Ia tersebar apabila lantikan itu dimuatnaik Rania ke Facebook dengan menunjukkan surat itu ditandatangani sendiri oleh Dr. Lee. -MalaysiaGazette