Anina Saadudin
Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengkritik pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) adalah tidak bertanggungjawab.

Pengasas Empirical Malaysia, Anina Saadudin menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas itu tiada kredibiliti dan dianggap sebagai duri dalam daging kepada perjuangan parti tersebut.

“Jika Dato Seri Nazri menyifatkan langkah itu sebagai regresif kerana meragui Dato Seri Najib yang kembali popular dengan fenomena ‘bossku’, boleh menasihati BN.

“Rakyat pula menyifatkan Dato Seri Nazri yang akrab dengan Lim Guan Eng sebagai duri dalam daging kepada perjuangan rakyat hari ini.

“Rakyat tidak mencari duri, tapi rakyat mencari penawar ketika kehidupan 34 juta rakyat Malaysia sedang menderita di bawah kerajaan penipu ditunjangi DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Nazri hari ini yang mengkritik langkah BN melantik Najib sebagai penasihat lembaga penasihat parti itu dalam mesyuarat khas, semalam.

Mohamed Nazri juga dilaporkan menyindir Najib sebagai penyebab kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu hingga hilang dua pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Anina juga mendakwa bekas Setiausaha Agung BN itu tidak pernah membela parti dan rakyat selepas PRU14, sebaliknya hanya membuat kenyataan yang tidak masuk akal.

“Beberapa bulan lalu, Dato Seri Nazri melancarkan kempen tidak masuk akal untuk BN bersama DAP dan ianya ditolak mentah oleh ahli UMNO sebelum idea tersebut sempat dipotong tali pusatnya,” tegasnya.

Berikutan itu, Anina menggesa Mohamed Nazri memberi tumpuan kepada kesnya dengan DAP dalam kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Projek Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang.

“Mungkin Datuk Seri Nazri perlu menumpukan perhatian untuk membersihkan namanya terlebih dahulu sebelum bimbangkan pelantikan Dato Seri Najib.

“Persoalannya, siapa yang kuat mengkritik dan melawan PH setiap hari? Datuk Seri Nazri Aziz ke?

“Siapa yang semakin disayangi rakyat dan popularitinya melonjak setelah ramai sedar beliau telah difitnah dan dianiayai berulang kali oleh PH? Khairy Jamaluddin ke?

“Siapa yang berani melawan anak-beranak DAP dengan fakta sehingga kedua-duanya tidak dapat membalas,” katanya. – MalaysiaGazette