Kerajaan akan melonggarkan lagi syarat melawat Malaysia termasuk memperluaskan visa ketibaan (VOA) untuk pelancong dari India dan China. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melonggarkan lagi syarat melawat Malaysia termasuk memperluaskan visa ketibaan (VOA) untuk pelancong dari India dan China.

Sinchew Daily melaporkan, walaupun visa ketibaan akan dilaksanakan, tetapi pelancong berkenaan mesti masuk melalui negara ketiga, yakni tidak boleh terbang secara terus ke Malaysia dari negara asal di China atau India.

Menurut sumber, walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencadangkan supaya pelancong China dan India yang masuk secara terus dari negara asal diberi visa ketibaan, tetapi cadangan itu ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

Walau bagaimanapun, kemudahan visa ketibaan akan diperluaskan ke lebih banyak pintu masuk termasuk  Sungai Tujuh di Sarawak, Bukit Kayu Hitam dan Pulau Langkawi di Kedah serta di Pulau Labuan.

Selain itu, tempoh “cooling off” visa turut dipendekkan dari tiga bulan kepada satu bulan, yakni pelancong boleh memohon semula visa ketibaan selepas tempoh satu bulan.

Langkah-langkah baharu yang bakal diperkenalkan itu dijangka dapat menambah kemasukan pelancong asing ke negara ini khususnya pada Tahun Melawat Malaysia 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan secara rasmi dasar visa berkenaan pada 22 Julai ini, selari dengan pelancaran logo untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.

Walaupun ada pihak yang mengharapkan lawatan tanpa visa dibuka kepada pelancong China dan India seperti mana China menyediakan kemudahan tanpa visa kepada pelancong 59 negara yang melawat Pulau Hainan, tetapi cadangan tanpa visa sukar dilaksanakan Malaysia pada masa ini. – MalaysiaGazette