Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab persoalan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dijadual dibentang semula pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, sehari selepas ia ditarik balik.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun itu akan dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas selesai sesi soal jawab lisan.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang dibentangkan pada 4 Julai ditarik balik semalam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Dr Mahathir turut yakin pindaan perlembagaan yang dibentangkan hari ini, bakal mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat susulan komitmen blok pembangkang menyokong pindaan berkenaan.

Sidang dewan yang bermula pada 10 pagi ini turut sarat dengan pelbagai isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen bagi dijawab menteri bertanggungjawab pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan soal jawab lisan.

Antara yang menarik perhatian ialah soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) kepada Perdana Menteri mengenai langkah-langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan, selain Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam mengekang sebarang bentuk logistik sampah dari luar negara.

Sidang dewan turut dijangka hangat dengan perbahasan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, antaranya bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette