Jerip

KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mambong Datuk Dr Jerip Susil hari ini mengumumkan keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), sekaligus meninggalkan parti itu berkuatkuasa serta merta.

Katanya keputusan itu dibuat selepas beliau membincangkan perkara itu dengan orang ramai, dan juga penyokongnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Mambong.

“Ia adalah keputusan yang amat memeritkan bagi saya… Keputusan ini juga adalah demi kepentingan perpaduan kaum Bidayuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kini saya boleh menyumbang kearah usaha membina dan mengukuhkan perpaduan kaum Bidayuh dalam kerajaan negeri Sarawak.. saya menyokong penuh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) untuk terus memimpin Sarawak,” tambahnya.

Dr Jerip, yang merupakan Menteri Muda Pengangkutan dalam kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dilihat mengambil keputusan itu semasa khabar angin bertiup kencang sejak kebelakangan ini, mengenai beberapa pemimpin akan meninggalkan parti berkenaan, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Beliau dan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh, yakni Menteri Kewangan Kedua, Perdagangan Antarabangsa, dan E-Dagang Sarawak, merupakan anggota dalam kabinet negeri, walaupun PSB bukanlah anggota GPS.

Dr Jerip berkata keputusan itu perlu dilakukan kerana beliau sedar dan yakin bahawa hanya GPS di bawah kepimpinan Abang Johari memiliki wawasan, komitmen, dan program-program bagi membawa kemajuan yang lebih pesat kepada kawasan pedalaman.

Katanya beliau yakin ramai yang akan mendapat banyak manfaat menerusi Program Transformasi Luar Bandar yang dilaksnakan kerajaan negeri dalam usaha membawa kemudahan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Oleh itu kita semua perlu menunjukkan perpaduan yang kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran yang datang, dan juga dalam memberikan sokongan padu kepada Abang Jo (panggilan mesra kalangan penduduk Sarawak terhadap Ketua Menteri). Ketua Menteri kita amat tegas dan komited dalam melindungi hak dan kepentingan Sarawak,” katanya.

Selain Dr Jerip, lima lagi wakil rakyat dari PSB terdiri daripada Wong (Bawang Assan), Ranum Mina (Opar), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Datuk Tiong Thai King (Dudong) dan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat.- BERNAMA