Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas minta kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak gopoh untuk menghapuskan Akta Hasutan hanya kerana satu atau dua kes yang berlaku mutakhir ini.

Sebaliknya, kerajaan mesti mengambil kira semua faktor dan jangkaan masa hadapan sekiranya akta itu dihapuskan demi menjaga kestabilan negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara masih memerlukan satu akta untuk mencegah perilaku yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Oleh itu, langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam. Isu yang lebih kritikal ialah penyalahgunaan akta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ini masa terbaik untuk kerajaan baharu membuktikan tidak akan melakukan penyalahgunaan akta.

“Sebaliknya, kerajaan mesti menjunjung kedaulatan undang-undang dan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk dilayan dengan adil. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada badan kehakiman di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, perbuatan menghasut apatah lagi menanam kebencian sama ada melalui tulisan atau ucapan boleh mewujudkan ketegangan antara kaum serta mengancam kestabilan negara.

Katanya, jika akta itu dihapuskan, kerajaan akan terlewat untuk mengawalnya kalau berlaku kekacauan di negara ini. – MalaysiaGazette