Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa tidak sabar untuk bertemu di atas padang menentang bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Bayangan perlawanan bola sepak itu dimaklumkan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim itu di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini sempena perasmian stadium baharu di Johor.

“Tidak sabar untuk bermain bersama anda YB Khairy Jamaluddin pada perlawanan All Stars ketika perasmian stadium baharu nanti. Anda telah banyak berjasa dalam sukan dan berkhidmat untuk negara,” katanya.

Awal bulan, perlawanan JDT All-Stars Friendly yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin berjaya mengumpul dana sebanyak RM680,000 untuk disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang memerlukan.

Perlawanan amal yang menarik tumpuan ramai kerana disertai beberapa bekas pemain ternama dunia itu berkesudahan dengan pasukan JDT TMJ menewaskan JDT Rest of The World, 9-5.

Antara bekas bintang itu adalah tiga bekas bintang Perancis iaitu Robert Pires, Claude Makalele dan Florent Malouda.

TMJ yang yang turut bermain di posisi tengah menyerang juga bergandingan dengan bekas pemain tengah Argentina, Esteban Cambiasso dan dua pertahanan dari Itali, Marco Materazzi serta Gianluca Zambrotta. – MalaysiaGazette