Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berucap pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia di eCurve Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2019.

PETALING JAYA – Satu jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan Kementerian Kesihatan bagi menyiasat tuduhan bahawa Orang Asli dipaksa menyertai program Perancang Keluarga.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, laporan jawatankuasa siasatan dalaman itu dijangka diketahui selewat-lewatnya 26 Julai ini.

“Inkuiri dalaman itu akan melibatkan tiga perkara iaitu menyiasat sama ada dakwaan berlakunya paksaan dalam penerimaan ubat perancang keluarga dalam kalangan wanita Orang Asli.

“Keduanya mengenalpasti kelemahan dalam penyampaian program perancang keluarga oleh pasukan KKM terhadap Orang Asli.

“Manakala ketiga saranan penambahbaikan ke atas penyampaian program tersebut,” katanya pada sidang media sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019 di e-Curve, Mutiara Damansara hari ini.

Katanya,jika terdapat kekurangan dalam siasatan tersebut, beliau akan memberi ruang kepada siasatan yang dilakukan itu dan mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan bersidang minggu depan.

“Kita juga sudah ada ahli-ahli panel inkuiri dalaman yang dipengerusikan oleh Dr. Ayub Bah Los peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak untuk memantau dan menyiasat tuduhan terhadap program ini dan komited dalam mengenalpasti tuduhan berbangkit,” ujarnya.

Sementara itu, Dzulkefly memberitahu, beliau bersedia menerima kritikan dan sanggup berbincang dengan aktivis yang terlibat dalam isu berkenaan.

Pada Rabu lalu, sekumpulan Orang Asli menyerahkan memorandum di Parlimen mendakwa golongan wanita Orang Asli dipaksa mengikuti program perancang keluarga dan mengambil suntikan.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly menegaskan beliau tidak percaya dakwaan yang dikemukakan tanpa bukti dan mendesak mendesak pihak terbabit mengemukakan bukti. – MalaysiaGazette