Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sungguhpun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tetapi wang itu telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Lantaran itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir menyokong rumusan PAC bahawa kerajaan sebelum ini telah memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu,

Wang itu kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan dan seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Menurutnya, amalan ini adalah tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014 seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara.

Dalam kenyataannya juga, Ahmad Badri berkata, beliau tidak mahu sebarang laporan media oleh pihak tertentu mengenai
laporan PAC disalah tafsir yang boleh menimbulkan salah faham atau persoalan awam mengenai hubungannya dengan Menteri Kewangan.

“Sejak dilantik sebagai KSP pada tahun lepas, saya mempunyai hubungan baik dan memberi kerjasama penuh kepada YB Menteri Kewangan dan turut serta dalam pelbagai tugas rasmi di luar negara dan yang terkini adalah lawatan kerja ke Republik Rakyat China pada awal bulan Julai 2019.

“Saya menghargai keterbukaan YB Menteri Kewangan untuk mendengar semua idea dan menghormati perbezaan pandangan dalam mencapai keputusan yang terbaik bagi mencapai visi YB Menteri Kewangan ke arah urustadbir CAT – Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

“Dengan usaha bersungguh-sungguh ini dan semangat berpasukan, Kementerian Kewangan juga telah berjaya meyakinkan agensi penarafan kredit untuk mengekalkan taraf kredit antarabangsa Malaysia pada tahap A- atau A3; mengendalikan hutang dan liabiliti negara yang mencecah RM1 trilion dan menjayakan terbitan bon dengan lancar seperti bon samurai sebanyak Yen200 bilion pada awal tahun ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette