Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih berdiam diri terhadap Bersih 2.0 selepas melanggar embargo laporan persempadanan 2017 Sabah yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Dakwa bekas perdana menteri itu, Bersih 2.0 telah mendedahkan keseluruhan laporan itu, bukan sekerat sahaja seperti yang pernah beliau lakukan bagi kertas putih Felda.

Najib berkata, tindakan berkaitan Felda itu menyebabkan kerajaan PH mengemukakan usul untuk menghalangnya ke Dewan Rakyat selama tiga bulan.

Malah, isu itu turut didebat selama satu jam dalam dewan selain mencadangkan beliau berdepan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Masih ingat tak bulan April lalu apabila kecoh satu Dewan Rakyat kerana usul nak gantung tugas saya sebagai ahli Parlimen untuk tiga bulan kerana saya didakwa langar embargo (larangan mengeluarkan dokumen sebelum sampai masanya)?

“Masa itu, PH nak fitnah saya kata saya telah tipu FELDA dengan pembelian syarikat sawit Indonesia dan menyebabkan kerugian berbilion-bilion. Pengurus FELDA turut dipanggil untuk membuat laporan polis terhadap saya pagi itu.

“Pada petang hari yang sama itu, saya memuatnaik sekerat dari kertas putih FELDA yang membuktikan wujudnya PUT OPTION untuk pembelian syarikat itu.

“Masa itu, ‘kesalahan saya’ ialah memuatnaik satu kerat (setengah muka surat pun tak sampai) dari kertas putih yang dikeluarkan oleh kerajaan PH sendiri bagi membela diri dari fitnah kejam mereka bahawa saya tipu FELDA berbilion-bilion. Itu je,” kata Najib menerusi akaun Facebooknya.

Najib menambah: “Tapi semalam, BERSIH juga dilaporkan telah melanggar embargo parlimen juga.

“Seluruh buku laporan embargo dikeluarkan. Bukan sekerat sahaja seperti kes saya. Tapi apa reaksi kerajaan PH? Krik.. krik… krik…

“Tak seorang pun pemimpin PH mengeluarkan sepatah ayat tentang kesalahan BERSIH,” ujarnya. – MalaysiaGazette