Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap semasa sidang media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima baik teguran Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli parlimen PKR ekoran kenyataan terbukanya berhubung isu video seks yang mengaitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Port Dickson menerima pandangan tersebut kerana tidak mahu dilihat parti pimpinannya sedang berhadapan dengan ketegangan.

“Saya terima pandangan daripada ahli PKR dan MPP walaupun ada yang menafikan termasuk Dr. Xavier. Itu biar dia jelaskan kemudian.

“Maksud mereka adalah untuk memastikan parti ini tidak kelihatan terlalu tegang. Jadi, mereka memberi peringatan supaya kita boleh bersatu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu Anwar yang juga Presiden PKR membidas laporan Malaysiakini apabila menggunakan perkataan ‘menempelak’ di dalam laporannya terhadap kenyataan beliau berhubung isu yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga timbalannya dalam parti.

Katanya, perkataan tersebut menggambarkan bahawa ahli MPP dan ahli Parlimen berkenaan tidak bersetuju dengan pandangannya sedangkan beliau merupakan presiden parti.

Dalam hal tersebut, Anwar menegaskan, ada dalam kalangan rakan-rakan dalam politik meminta beliau supaya tidak melayan soalan media berhubung perkara itu bagi mengelak kekeliruan.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya pihak media menunggu hasil siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak polis dan pada masa ini memberikan simpati kepada Azmin

“PKR masih lagi dengan matlamat iaitu menolak budaya politik kotor dan jijik. Setakat ini kita menunggu keputusan biro politik dan melahirkan simpati kepada saudara Azmin dan keluarga,” ujarnya.

Hari ini sebanyak 22 MPP dan empat ahli parlimen PKR menegur Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan Azmin.

Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/18/ahli-mpp-pkr-tegur-anwar-isu-video-seks/