Ayda Jebat

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat ‘mengunci mulut’ daripada memberi ulasan tentang dakwaan mengatakan hubungan cintanya dengan Redza Rosli tidak berpanjangan.

Nur Suhada Jebat berkata tidak mahu mengulas panjang kerana perlu menjaga banyak hati.

“Sejujurnya memang ada beberapa pihak yang saya perlu jaga hati mereka. Bukan sahaja diri saya malahan di pihak sebelah sana juga.

“Pada masa sama, kami juga sudah bersetuju untuk tidak memberikan apa-apa kenyataan. Rasanya itu adalah pendekatan yang terbaik,”katanya.

Ayda selain itu hanya menganggap bahawa hubungannya dengan pelakon lelaki itu tidak lebih sekadar kawan baik sahaja.

“Sejujurnya kami hanya berkawan baik dan tiada istilah putus cinta pun sebenarnya. Yang penting, saya cuba bersikap profesional serta akan bekerja dalam cara yang baik dan rasanya begitu juga dengan dirinya. Bagi saya, Tuhan dah tunjukkan sebegitu.

“Tidak ada penafian terhadap apa yang berlaku, sekiranya ada. Saya juga tidak menidakkan atau mengiyakan. Malah, sebelum ini pun kami memang profesional cuma mungkin pada ketika itu hubungan kami diperkatakan kerana sering dilihat bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda juga melahirkan perasaan terkejut apabila ada pihak yang cuba mengaitkan hubungannya mulai renggang berpunca dari seorang pelakon wanita lain iaitu Oktovia Manrose.

“Sebenarnya saya juga terkejut apabila ada yang mengaitkan namanya. Rasanya tidak perlu nak kaitkan perkara ini dengan orang lain,” katanya.

Ayda, 27, dan Redza, 27, sebelum ini hangat dikatakan bercinta selepas digandingkan menerusi drama Ku Kirim Cinta yang ditayangkan dua tahun lalu.

Namun, hubungan rapat mereka dikatakan berantakan selepas Ayda dipercayai telah memadam kesemua gambar aktor itu yang pernah dimuat naik menerusi laman Instagramnya sebelum ini selain tidak lagi mengikuti Instagram Redza.

Kedua-dua pelakon yang pernah digandingkan dalam drama Ku Kirim Cinta itu dikaitkan apabila sering dilihat bersama-sama.

Ayda Jebat juga sebelum ini dilaporkan pernah hadir ke lokasi penggambaran Redza. – MalaysiaGazette