Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Jalan Hang Jebat merangkap Pemuda UMNO Bukit Bintang, Audi Abd Hamid di Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 19 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Perjuangan parti Pakatan Harapan (PH) yang dulu berjuang untuk pemimpin yang bersih tapi kini terbukti mereka di sebaliknya.

Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Bintang, Audi Abd. Hamid berkata, perjuangan mereka termasuk demonstrasi BERSIH satu ketika dahulu bagai ‘kambing menanduk bukit’ kerana tidak menjadi realiti.

“Mereka (pemimpin) mesti tahu, generasi muda mahu seorang pemimpin yang bersih dan menjaga kebajikan rakyat daripada menjaga kepentingan peribadi diri mereka untuk mendapatkan sokongan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Cawangan UMNO Jalan Hang Jebat itu merujuk kepada isu yang melingkari pimpinan PH hari ini termasuk ‘pergeseran’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Kedua-dua dilihat ‘berebut’ menjadi perdana menteri tetapi dalam masa yang sama bergelumang dengan isu moral.

“Pada pandangan saya, Azmin dan Anwar perlu belajar dari kesilapan yang berlaku sebelum ini. Sekiranya mereka masih bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan skandal, peluang rakyat menyokong BN (Barisan Nasional) dan Pas untuk PRU-15 adalah sangat tinggi,” ujarnya lagi.

Menurut Audi, orang muda mahu melihat hasil bukan sekadar menjanjikan atau berkata kosong.

“Mereka berdua (Anwar dan Azmin) harus buktikan siapa yang lebih layak atau sebenarnya pemimpin pembangkang yang lebih layak dari mereka,” katanya.- MalaysiaGazette