Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim juga patut meletakkan jawatannya seperti mana saranan sama dibuat kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga pada tahun 2011 telah mengeluarkan kenyataan ketika itu bahawa hasil siasatan forensik video ‘china doll’ adegan seks yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim juga adalah tulen.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kenyataan ini hampir serupa dengan kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam yang mengesahkan ketulenan video yang dikaitkan dengan Azmin.

Asyraf berkata, Pemuda UMNO memandang serius pertelingkahan kepimpinan tertinggi negara yang dilihat begitu rakus berebut jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup membuka aib masing-masing melalui pendekatan politik jijik.

Kata beliau, lebih 20 tahun politik negara diwarnai dengan skandal politik yang jijik ekoran perbalahan dan perebutan kerusi Perdana Menteri yang semacam tiada kesudahan, sedangkan rakyat berterusan sengsara dek kerana ekonomi negara yang semakin menghimpit.

“Maka Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyarankan dan mendesak agar kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan skandal memalukan negara agar melepaskan jawatan dan bersara daripada politik!,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau turut mengingatkan Pakatan Harapan bahawa rakyat sudah memilih gabungan itu untuk membela nasib mereka bukannya berebut jawatan dan harta rampasan lepas perang yang tiada penghujungnya sejak PRU-14 lalu.

“Jika tidak mampu menguruskan negara, bubarkan sahaja Parlimen dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih teraju kepimpinan yang baharu!,” ujarnya. – MalaysiaGazette