Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer.
GEORGE TOWN – Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer yang cedera dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat sini tiga tahun lepas hari ini memperoleh ganti rugi RM114,470, selepas menang dalam samannya terhadap syarikat keselamatan dan seorang pekerjanya berhubung kecederaan yang dialaminya akibat insiden tersebut.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memerintahkan syarikat GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd sebagai defendan kedua membayar ganti rugi tersebut selepas membenarkan tuntutan saman dikemukakan Mohamad Amirul Amin selaku plaintif dalam kes itu.

Mahkamah memerintahkan syarikat tersebut membayar ganti rugi am sebanyak RM70,000 dan kos sebanyak RM30,000 serta ganti rugi khas RM14,470.

Dalam penghakimannya Hadhariah berkata dalam kes tersebut kesalahan harus ditanggung oleh defendan kedua, syarikat GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd dan syarikat itu perlu memastikan senjata api yang dibekalkan kepada pekerjanya iaitu pengawal peribadi, Jaafar Haalid , yang juga defendan pertama dalam kes itu diguna dengan cara yang betul dan bertanggungjawab.

“Dalam kes ini senjata api ini dibekalkan oleh defendan kedua (syarikat tersebut), dan syarikat ini yang upah defendan pertama dan ini satu risiko yang boleh dijangka. Saya menolak pembelaan pihak defendan kedua yang menyatakan tidak tahu kerana defendan pertama baru dua hari bekerja. Defendan kedua tidak boleh bercakap tidak tahu dan perlu bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata mahkamah juga mendapati alasan yang diberikan oleh defendan kedua yang menyalahkan jurukamera itu pergi menolong dalam kejadian itu adalah tidak munasabah.

“Ia tidak munasabah. Sekiranya plaintif nampak defendan pertama memegang pistol , sudah tentu dia tidak akan pergi ke tempat itu. Dalam kes ini defendan kedua bertanggungjaawb terhadap tindakan defendan pertama,” katanya.

Hadhariah berkata selain itu defendan kedua didapati menghantar pistol yang digunakan defendan pertama ke kedai besi buruk (scrub metal company) tanpa mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mohamad Amirul Amin memfailkan saman itu pada 1 Jun 2018 dengan mendakwa beliau telah ditembak oleh defendan pertama ketika beliau mendekati seorang individu yang disangka mangsa kemalangan jalan raya berikutan badannya berlumuran darah dan duduk di atas jalan raya.

Dalam tuntutannya, beliau berkata defendan pertama telah menggunakan senjata api pistol jenis “Glock” dan menembak majikannya hingga mati. Defendan pertama turut melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua individu lagi meninggal dunia manakala empat lagi cedera parah.

Mohamad Amirul Amin menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan, ganti rugi teruk dan lain-lain relief dan/atau perintah yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau diwakili peguam Simon Murali manakala GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd diwakili peguam Mohamad Nor Azam Rashid dan Samry Masri.

Jaafar kini dalam tahanan di Penjara Pulau Pinang kerana menghadapi sembilan pertuduhan jenayah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

— BERNAMA