Tun Dr. Mahathir Mohamad

SERDANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melaksanakan kaedah satu ahli, satu undi di peringkat cawangan dan bahagian parti.

Namun, pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata. kaedah tersebut tidak akan dilaksanakan di peringkat jawatan tertinggi parti itu.

Perdana Menteri juga mengakui cadangan itu telah dibawa oleh ahli PPBM tetapi kaedah berkenaan sukar untuk dipraktikkan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

“Mereka ada membangkitkan soal tentang pemilihan dan menyatakan pendapat masing masing mengenai sistem satu ahli satu undi tetapi hanya boleh dilaksanakan di peringkat cawangan dan bahagain,” katanya dalam sidang media perhimpunan Agung Khas PPBM di MAEPS di sini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga menjelaskan mesyuarat khas yang diadakan pada hari ini bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.

Menurutnya,kebanyakan perwakilan bersetuju dengan pindaan pindaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PPBM.

“Namun hanya satu perkara sahaja (berkaitan keahlian) tidak dipersetujui mereka iaitu melibatkan ahli bersekutu iaitu bukan Bumiputera tetapi jawatankuasa tertentu tidak bersetuju dengan cadangan ini.

“Itu pendirian mereka, oleh kerana nampak ada pendapat majoriti, kita terima iaitu kita tidak ada ahli jawatankuasa yang akan dipilih dengan penyertaan ahli bersekutu yang bukan Bumiputera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette