Chew Mei Fun
Chew Mei Fun

KUALA LUMPUR – Presiden MCA mengesahkan peletakan jawatan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkuatkuasa hari ini.

Peletakan jawatan itu kerana Mei Fun akan melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah di Universiti Peking, China.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Mei Fun telah menghantar surat peletakan jawatan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 13 Julai lalu.

Sambil mengucap terima kasih atas perkhidmatan selama lapan bulan bersama parti itu, Ka Siong berkata, Setiausaha Agungnya itu merupakan seorang yang berdedikasi, berhati-hati dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan strategi serta meneruskan pelbagai program parti.

Beliau sentiasa memastikan pemulihan MCA selepas kalah dalam pilihan raya yang lalu supaya kembali kepada landasan yang betul.

“Kami sangat menghargai usaha gigihnya,” kata Ka Siong dalam satu kenyataan di sini.

Antara projek yang diamanahkan kepadanya termasuk penggubalan ‘A New Era, A Renaissance: Pelan Tindakan Pelaksanaan MCA (2018-2021)’, bertujuan untuk memudahkan program transformasi dan keremajaan MCA.

Di bawah kepimpinan beliau, pelbagai program di bawah pelan tindakan dilaksanakan, terutamanya penubuhan Gerakan Pemantauan Kerajaan MCA, menaik taraf dan pembaharuan jabatan Ibu Pejabat, merangka Piagam Baru BN dan sebagainya.

Dalam proses itu, beliau telah menunjukkan kekuatan luar biasa dalam keupayaan pelaksanaannya.

“Selepas menjadi pembangkang pada tahun lepas, MCA menghadapi cabaran dari dalam dan luar parti, termasuk pelbagai serangan dari pihak-pihak lawan. Dan Mei Fun berdiri teguh
mempertahankan visi dan hak MCA, dengan fakta dan angka.

“Dia memberinya semua untuk parti dan tidak takut menghadapi cabaran luar,” katanya lagi.

Ka Siong berkata, walaupun berat hati menerima peletakan jawatan Mei Fun, namun MCA berdoa kejayaannya dalam mengejar cita-cita akademik dan berharap beliau akan kembali berkhidmat kepada parti dan negara. – MalaysiaGazette