SAC Fadzil Ahmat
SAC Datuk Fadzil Ahmat

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pendakwah bebas, Wan ji Wan Hussin yang dituduh menyebarkan fitnah apabila mendakwa dia dipukul ketika berada dalam penjara.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang memberitahu, laporan diterima daripada pihak penjara berhubung tuduhan yang dibuat oleh Wan Ji itu.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan fitnah jenayah.

“Semalam kita menerima laporan yang dibuat pendakwah itu dan pada Rabu, pihak penjara juga membuat laporan polis berkenaan isu itu terhadap Wan Ji.

“Susulan itu, polis membuka dua kertas siasatan, pertama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana Wan Ji mengatakan telah dipukul semasa dalam tahanan di penjara.

“Kedua-dua kes masih dalam tindakan siasatan lanjut polis. Kita juga ada menyiasat pendakwah itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Khamis lalu, Wan Ji diminta membuat laporan polis jika memerlukan pembelaan berhubung dakwaan dirinya dipukul ketika ditahan di Penjara Kajang baru-baru ini.

Terdahulu, Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Artikel berkaitan:Dakwaan Wan Ji dipukul: Siasatan di peringkat akhir – KP Penjara

Wan Ji boleh buat laporan polis jika mahu keadilan

Anwar gesa Muhyiddin siasatan dakwaan Wan Ji dipukul

Hina sultan, Wan Ji ke penjara satu tahun

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selepas berjaya mendapatkan penangguhan hukuman, Wan Ji mendakwa dia dipukul seorang warden di penjara.

Wan Ji turut mendakwa dia disuruh oleh warden terbabit supaya membuka cermin matanya dan kemudian dipukul sebanyak tiga kali.

Malah, Wan Ji mendakwa beberapa lagi warden yang menyaksikan kejadian itu tidak berbuat apa-apa untuk menghalang sebaliknya tertawakan dia ketika diperlakukan sedemikian. – MalaysiaGazette