Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud bercakap pada sidang media sempena Program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Pulang Ke Negara Asal di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang mendakwa dipukul oleh pegawai warden Penjara Kajang ketika menjalani hukuman penjara minggu lalu boleh membuat laporan polis jika mahu pembelaan dan keadilan.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak boleh bertindak ke atas pegawai berkenaan sekiranya tidak ada laporan polis.

“Setakat ini saya belum menerima apa-apa laporan berhubung kes itu. Saya hanya baca dan tengok dalam video, dia (Wan Ji) mendakwa dipukul tetapi pada masa sama tidak mahu buat laporan polis kerana kesian.

“Kita tidak boleh memaksa dia. Terpulang kepadanya sama ada mahu membuat laporan polis atau tidak. tetapi jika dia mahukan keadilan, dia perlu buat laporan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Wan Ji yang menjalani hukuman satu tahun penjara atas kesalahan bawah Akta Hasutan mendakwa dirinya dipukul ketika berada dalam Penjara Kajang.

Beliau yang mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menangguhkan hukuman penjara setahun kerana menghasut terhadap Sultan Selangor berkata, kejadian itu berlaku sehari selepas dibebaskan pada Jumaat lalu.

Katanya, beliau diminta menanggalkan baju dan perlu menggunting rambut sehingga botak serta janggut seterusnya menanggalkan cermin mata.

Mengenai perkembangan kematian warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha, beliau menjelaskan, Jabatan Imigresen telah membawa laporan itu ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Katanya, laporan awal HUKM telah dikeluarkan dan mendapati tidak ada kesan dipukul atau cedera.

“Bagaimanapun, laporan lengkap belum lagi dikeluarkan. Kita tunggu laporan lengkap dulu. Saya tak boleh buat apa-apa andaian,” katanya.

Beliau diminta mengulas siasatan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia terhadap kematian Orhions semasa dalam tahanan baru-baru ini, mendapati tiada sebarang unsur mangsa dipukul atau kekerasan digunakan.

Ketua Pengarah JIM, datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, pihaknya kini hanya menunggu laporan perubatan dari HUKM bagi mengesahkan punca kematian warga Nigeria itu.
Orhions meninggal dunia pada 9 Julai lalu dan sebelum itu rawatan awal telah diberikan serta pengurusan kematian juga mengikut Prosedur Operasi Standard sewajarnya. – MalaysiaGazette