KUALA LUMPUR – MIC memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya tidak cuba memesong isu skandal video ‘Semburit Sandakan’ yang mengaitkan pimpinannya.

Sebaliknya wujud dakwaan terdapat individu cuba ‘menangguk di air keruh’ untuk mengalihkan perhatian dengan memuat naik video-video lama.

Antaranya, video pergaduhan dalam kalangan ahli MIC yang di muat naik pada 2014 ketika demonstrasi perebutan kuasa serta isu dalaman Maika Holdings dengan mendakwa insiden itu baru sahaja berlaku.

Bagaimanapun, Pemuda MIC menjelaskan bahawa video itu dimuat naik oleh seorang induvidu bernama ‘Elangkathir Sundaram’ yang mendakwa pergaduhan itu berlaku kerana salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan kepada unit khas bagi melaksanakan Program Pembangunan Sosioekonomi (SEDIC) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Berikutan itu, Ketua Biro Politik Pemuda MIC, Arvind Krishnan memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis berikutan kerana terdapat cubaan untuk mengaburi pandangan umum tentang keadaan ‘caca marba’ politik PH pada masa kini.

Kata Arvind, pihaknya pasti ia merupakan perbuatan ‘cybertroopers’ PH dalam usaha mengalihkan tumpuan senario politik semasa kepada isu SEED dan Sedic yang kini dalam siasatan.

“Video itu dimuat naik dan kemudiannya dikongsi dalam kalangan netizen kononnya ada pihak khasnya dalam MIC sedang bergaduh tidak berpuas hati dengan dakwaan salah tadbir dana Sedic.

“Nampaknya kumpulan cybertroopers ini bekerja begitu keras untuk pastikan pimpinan mereka ‘terlepas’ daripada kritikan atau pandangan masyarakat umum dengan skandal-skandal terpalit dengan mereka.

“Sebaliknya mereka cuba jadikan MIC sebagai kambing hitam, cuba tuding jari dan seperti sebelum kemenangan PRU lepas, mereka tanam sentimen kebencian sekali lagi supaya dapat lari daripada tanggungjawab mereka. Apa lagi kamu mahu?

“Kini kuasa dalam tangan tapi masih tidak berubah, mahu terus menyebar fitnah, tuding jari dan sebagainya? Masih tidak berubah dan terus menganggap rakyat itu buta dan pekak dengan keadaan politik kini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

WhatsApp Image 2017-11-28 at 12.27.13 AM
Arvind Krishnan

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Taskforce) bagi meneliti pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), seterusnya mengambil tindakan jika ada unsur rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya sudah mendapat laporan penuh serta diberikan taklimat oleh Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Jabatan Audit Negara berhubung LKAN 2018 Siri 1.

Latheefa berkata, antara perkara dalam penelitian SPRM ialah pendedahan mengenai salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada Unit Khas SEDIC.

LKAN Siri 1 2018 mendedahkan salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada SEDIC untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dari 2014 hingga 2018.

Jelas Arvind, rakyat sebenarnya ingin tahu apa yang sedang berlaku sejak kerajaan PH mengambil alih kerana terlampau banyak isu timbul yang dikaitkan dengan pimpinan mereka sendiri.

“Banyak isu, antaraya video skandal terbaru yang juga dikaitkan dengan seorang Mneteri Kanan. Belum ada rumusan lagi, kita mahu tahu adakah ‘pelakon’ dalam video itu akan dikenakan tindakan? Apakah yang akan polis dan Jabatan Peguam akan lakukan selepas ini.

“Rakyat juga mahu tahu adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dijanjikan jawatan Perdana Menteri ke-8 itu akan ditunaikan janji? Adakah beliau akan jadi Perdana Menteri kita selepas ini?

“Walaupun sudah hampir namun sehingga kini Tun Mahathir masih belum lagi berikan tarikh peralihan kuasa, jangan kita lupa juga dengan kenyataan-kenyataan yang bertentangan bagi ianya mengambil tempat seperti yang dijanjikan termasuk anak Tun Mahathir sendiri, Mukhriz.

“Bagaimana pula dengan isu matrikulasi dalam kalangan bukan bumiputra khasnya pelajar India yang sehingga kini masih samar-samar? Belum ada jawapan jelas. Tidak lupa juga dengan isu yang digunakan oleh pimpinan PH sebelum PRU, pendakwah kontroversi Zakir Naik.

“Kalau hendak kami senaraikan, banyak sangat. Sudah lebih setahun kamu (PH) sudah ambil alih, janji hanya sekadar janji. Masih lagi berperangai seperti pembangkang asyik tuding jari dan sibuk cari salah, kebajikan serta kepentingan rakyat yang dijanjikan sebelum hanya tinggal omong kosong.

“Betulkan semua itu dan baru bercakap. Buat apa yang betul dulu, jangan asyik cuba alih dan pesong isu demi kepentingan politik kamu kerana kami juga tidak akan sesekali berdiam diri,” katanya. – MalaysiaGazette