KUALA LUMPUR – Penduduk tidak mahu sisa toksik dari penggalian bauksit oleh kilang Lynas kekal di bumi Pahang, Kuantan.
Mereka tidak mahu nyawa ahli keluarga dan generasi akan datang berada dalam keadaan bahaya akibat daripada sisa toksik itu yang boleh menyebabkan penduduk menghidap penyakit kanser.
Wakil 80 pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGOs) dari Pahang, Tan Bun Teet berkata, mereka hairan kenapa kerajaan sanggup mengorbankan tanah yang produktif untuk sektor lain itu kepada pengeluaran bahan kimia yang membahayakan nyawa penduduk.

“Kami bertegas tidak mahu sisa Lynas ini kekal di bumi Malaysia. Mengapa kerajaan mengorbankan tanah yang produktif ini untuk membina kubur mega yang menjadi bahan buangan sisa beracun?
“Selain itu, penduduk juga berdepan pelbagai risiko lagi seperti berlaku tanah runtuh dan hakisan, menjadikan negara ini tidak lagi selamat,” katanya pada sidang media NGO Katakan Tidak Kepada Lynas di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini, hari ini.
Bun Teet turut menyatakan rasa terkejutnya dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika melawat Jepun baru-baru ini, bahawa kerajaan mungkin akan memperbaharui lesen kilang Lynas dengan alasan sisa radioaktif tidak akan tersebar.
Jelas beliau, kenyataan itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi menganggap kesihatan dan nyawa orang ramai sebagai penting.
Katanya, NGOs itu juga terkejut dengan tindakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof menganjurkan program kepada warga Lynas supaya menjaga sisa toksik. – MalaysiaGazette
















