ALOR SETAR – Penyokong-penyokong skuad Lang Merah diingatkan supaya tidak melampau batas, semasa membeli tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 di kaunter Stadium Darul Aman yang akan dijual pada Selasa ini (23 Julai).

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, mereka diminta menjaga tingkah laku dengan tidak berebut-rebut, ketika membeli tiket itu kerana 20,000 tiket akan dijual secara telus, di kaunter yang dibuka bermula pada pukul 10.30 pagi.

Beliau berkata, KFA akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau penjualanan tiket serta keselamatan, di perkarangan stadium dalam usaha memastikan tiada ketirisan berlaku sepanjang penjualan tiket itu berlangsung.

“Saya juga akan turun memantau di stadium sehari dua ini, saya minta peminat jangan bimbang sebab kita ada 20,000 tiket yang akan dijual di kaunter, mereka juga boleh datang seperti biasa di sebelah pagi dan kaunter akan dibuka bermula jam 10.30 pagi hingga tiket habis dijual.

“Tak perlulah pasang khemah tidur di perkarangan stadium, kita tak mahu kejadian seperti musim-musim lalu berulang sampai ada yang pengsan, tolak menolak sampai rosak penghadang besi. Sebagai orang Kedah jagalah adab kita, tambahan pula kita adalah negeri kelahiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada pemberita pada Program Seminar Usahawan Tani Kedah di sini hari ini.

Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah berkata jumlah 20,000 tiket yang akan dijual di kaunter itu, merupakan agihan daripada jumlah 30,000 tiket diperuntukkan Malaysian Football League (MFL).

Pada 27 Julai ini, Kedah akan bertemu Perak, merebut trofi Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kali terakhir Lang Merah membawa pulang Piala FA adalah dua tahun lalu, apabila menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam. – Bernama