Bekalan air
Sebahagian penduduk bekerjasama mengangkat air yang telah ditadah dari paip bekalan air sementara yang disediakan oleh Bekalan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 (LRA SSP1, 2 dan 3) serta LRA Rantau Panjang telah kembali beroperasi kira-kira jam 3.30 awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komuniksai Syabas, Abdul Raof Ahmad, bantuan lori tangki masih digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

Katanya, memandangkan insiden itu melibatkan gangguan berskala besar, pihaknya minta kerjasama pelanggan untuk mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili awam bagi mengelakkan kelewatan penghantaran bantuan lori tangki air.

“Pihak kami juga dengan bantuan agensi berkaitan sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan kepada media pagi ini.

Jelas Abdul Raof, bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan Syabas berikutan kemasukan panggilan yang tinggi, pelanggan diminta mendapatkan maklumat dan status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor, laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Ar Selangor” dan Twitter @air_selangor.

Selain itu, Syabas juga akan mengeluarkan makluman berhubung status terkini melalui kenyataan media.

Berikut senarai lokasi PKS dan pili awam di lokasi Kuala Lumpur dan Selangor;

Petaling: Seksyen 17, Subang Bestari, Taman Tun Dr. Ismail, Kompleks 3k Jalan SS14/36, Sekolah Kebangsaan Desa Tasik, Taman Wawasan dan Puchong Indah.

Klang/Shah Alam: Masjid Assaadah, Bandar Sultan Sulaiman; Taman Rekreasi Bandar Parkland, Jalan Delima 8, Bandar Parkland; Masjid Kg Perepat; Taman Rakyat; Jalan Cengkih Seksyen 16/10, Seksyen 16; Depan Masjid Ar Rahman Sri Andalas (depan Hospital Besar Klang); Jalan Persiaran Selangor, (bawah kolam) Kolam Seksyen 16; Persiaran Astana, Bandar Bukit Raja; dan Surau Seksyen 6, Jalan Cenderawasih 6/7, Seksyen 6, Shah Alam.

Gombak: Aeon Big Ampang, Lembah Jaya, Taman Mutiara Gombak Batu 8, dan Wangsa Maju (Jalan Sri Wangsa 2).

Kuala Lumpur: Sebelah padang bola HKL; Jalan Dagang 1, Taman Dagang Ampang; Parkir Masjid Wilayah Persekutuan; Flat Sri Melaka; Astaka Height Jalan 1/91A, Taman Shamelin Perkasa; No. 1 Jalan Indah 22, Taman Cheras Indah; dan Bayu Kondominium Pandan Jaya.

Kuala Selangor: Stadium Kuala Selangor dan Agro Bazaar Pasir Penambang.

Hulu Selangor: AmBank Rawang  (D’abang); dan Taman Jati (Pejabat Penghulu).

Kuala Langat: Jalan Waja, dan Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang (bersebelahan Medan Selera MDKL). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast