Pesawat British Airways. Foto Reuters

KAHERAH – British Airways dan Lufthansa menggantung penerbangan ke Kaherah dari hari Sabtu atas sebab-sebab keselamatan, tetapi tidak memberikan butiran tentang perkara yang mendorong kepada keputusan itu.

“Kami sentiasa mengkaji semula pengaturan keselamatan di semua lapangan terbang di seluruh dunia dan telah menggantung penerbangan ke Kaherah selama tujuh hari sebagai langkah berjaga-jaga untuk membolehkan penilaian lanjut,” kata British Airways dalam satu kenyataan.

Lufthansa turut membatalkan penerbangannya ke Kaherah pada hari Sabtu dari Munich dan Frankfurt tetapi meneruskan penerbangannya pada hari Ahad

British Airways mengatakan syarikat berkenaan tidak akan mengendalikan pesawat kecuali ia selamat untuk berbuat demikian.

Apabila ditanya mengenai lebih lanjut mengenai mengapa penerbangan digantung, seorang jurucakap menjawab: “Kami tidak membincangkan perkara-perkara keselamatan kepada umum”.

Tiga sumber keselamatan di lapangan terbang Kaherah memberitahu Reuters bahawa kakitangan Britain telah melakukan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang itu pada hari Rabu dan Khamis.

Namun, mereka tidak memberi perincian mengenainya.

Kementerian Penerbangan Awam Mesir dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghubungi Kedutaan British di Kaherah yang kemudian mengesahkan keputusan menangguhkan penerbangan itu tidak dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Luar Britain.

Kementerian Mesir menambah, ia akan meningkatkan penerbangan dari Kaherah ke London mulai hari Ahad untuk menyediakan kemudahan pengangkutan penumpang sepanjang tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette