Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak boleh lagi mengaitkan gangguan bekalan air dengan Barisan Nasional (BN) seperti mana fitnah dan pembohongan yang dilakukan sebelum ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Sebelum PRU14, BN akan dituduh melakukan sabotaj hampir tiap-tiap kali berlakunya gangguan bekalan air di Lembah Klang.

Tuduhan-tuduhan ini diulang oleh PH setiap tahun sehingga kali terakhir pada bulan Mac 2018 sebelum PRU14, meskipun tidak pernah sekalipun PH mengeluarkan bukti bahawa BN telah sabotaj.

“Kerana kita memang tak sabotaj dan hanya difitnah berulang-kali oleh mereka. Tak pernah sekalipun PH memohon maaf kerana telah memfitnah kita. Dorang (Dia orang) bisu je bila dicabar untuk mengeluarkan bukti.

“Selepas PRU14, PH tak boleh tuduh BN lagi kerana mereka telah memegang kerajaan persekutuan.

“Sekali lagi, saya nak buktikan bahawa PH ini adalah pendusta, pemfitnah dan pembohong yang tidak ada sebarang rasa malu,” kata Najib yang mendakwa gangguan air menjadi lebih kerap selepas PRU14.

“PH pun tersangkut kerana tak boleh salahkan BN lagi. Kini PH hanya boleh membeli alasan bahawa gangguan air ini adalah perkara biasa kerana pencemaran di Selangor adalah perkara biasa,” ujar bekas perdana menteri itu.

Tambahnya, PH hasut, bohong, fitnah dan tuding jari untuk menang dan selepas menang pun, mereka masih hasut, bohong, fitnah dan tuding jari.

“Sejarah telah membuktikan bahawa ini sebenarnya kekuatan mereka,” tambah Najib. – MalaysiaGazette