Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bercakap kepada media pada Program Perkongsian Petang Institut Kepimpinan dan Strategi Asia di Universiti Sunway,Bandar Sunway, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 JULAI 2019

PETALING JAYA – Malaysia tidak akan mengeluarkan prototaip kereta terbang sebelum ia diperkenalkan secara komersil dalam semua sektor perkhidmatan pengangkutan mudah alih di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof sebaliknya berkata, pengangkutan udara yang bakal diperkenalkan pertama kali di negara ini berupaya untuk terbang tanpa masalah.

“Saya tidak fikir ia adalah prototaip, di mana sahaja, orang lain di negara lain sudah terbang, di Malaysia belum lagi

“Sekiranya syarikat ini tidak dapat terbang (kereta terbang) di Malaysia, sebab itu saya bercakap dengan pengawal selia, saya bercakap dengan pihak berkepentingan, kita perlu memudahkannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Sunway hari ini.

MGF23072019_PROGRAM PERKONGSIA STRATEGI ASIA11
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bercakap semasa sesi soal jawab pada Program Perkongsian Petang Institut Kepimpinan dan Strategi Asia di Universiti Sunway,Bandar Sunway, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 JULAI 2019

Mohd. Redzuan juga mengulangi ketegasannya untuk tidak mendedahkan syarikat terbabit yang membangun dan mengeluarkan kereta terbang pertama di Malaysia itu.

“Saya tidak boleh (dedah) kerana nanti wujud spekulasi. Mereka (syarikat) menghabiskan wang mereka, bukan wang saya, bukan wang kerajaan, itu adalah wang mereka.

“Tidak adil untuk saya minta mereka mendedahkan syarikat sedangkan mereka melakukannya dengan baik,” katanya.

Ditanya tentang tarikh sebenar kereta terbang itu akan dilancarkan, Mohd. Redzuan optimis pengangkutan udara mudah alih itu akan dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Pada akhir tahun ini (lancar), saya agak gembira melihat kemajuan pembinaan kereta terbang, saya lihatnya sendiri, saya agak gembira,” katanya.

Katanya lagi, pengenalan kereta terbang itu kelak boleh membantu ramai usahawan daripada segi rantaian bekalan produk kepada pengguna dengan kos yang lebih efisien.

“Bayangkan rantaian bekalan yang kita boleh hasilkan. Usahawan boleh membangunkan, hanya menyediakan ruang. Insurans pula dapat berkembang kerana mereka perlu memberi perlindungan kepada kereta terbang.

“Saya sendiri dapat menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai, tempat parkir misalnya, sekaligus boleh merangsang pertumbuhan ekonomi, ia bukan lagi hanya tentang kereta terbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette