BANTING – Polis sedang giat mengesan enam individu bertopeng yang bersenjatakan parang dalam satu kejadian samun di sebuah rumah di Bandar Saujana Putra di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata, siasatan awal menunjukkan kesemua mereka menaiki sebuah kenderaan sebelum berhenti di luar rumah mangsa dalam kejadian kira-kira 9.41 malam.

Beliau berkata, tiga daripada suspek tersebut dipercayai memanjat tembok rumah tersebut sebelum memasuki ruang tamu kediaman berkenaan.

“Ketika kejadian lapan penghuni rumah yang berusia 12 hingga 70 tahun tersebut sedang berehat di ruang tamu dan ruang makan rumah terbabit.

“Suspek yang masuk ke rumah mangsa telah bertindak mengikat tujuh penghuni rumah di dalam bilik bawah (rumah), manakala seorang mangsa wanita telah dibawa ke bilik atas dan merampas barangan berharga termasuk barang kemas bernilai RM30,000 sebelum melarikan diri,” katanya hari ini.

Katanya, kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Tambah Azizan, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan cap jari berikutan kesemua suspek memakai sarung tangan.

“Polis meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Kejadian jenayah yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah berkenaan turut tular di media sosial sejak pagi tadi. – Bernama