Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media pada Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula Hidup Sihat di Pasar Raya Besar Giant USJ, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JULAI 2019

SUBANG JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar bahawa najis burung merpati adalah faktor sampingan  menyebabkan gangguan kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, semua pihak harus kembali kepada dapatan kementeriannya terdapat gas akrilonitril serta dua lagi gas iaitu akrolein dan metil merkaptan dikesan di kawasan berkenaan.

“Pernahkah kami sebut tentang najis burung merpati ini?  Tak pernah, jadi kembali kepada apa yang kita sebut tanpa sesiapa beri komen dan komentar tentang hak dan pandangan sesiapa pun.

“Pandangan kami kita tak mendapati fenomena ini terus kita pantau, ada kes bahan-bahan vosltile organik kompaund tapi hingga hari ni fenomena tidak seperti Sungai Kim- Kim yang pertama di mana ada yang dimasukkan dalam ICU, semua itu kami sedang pantau,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Kurangkan Gula Hidup Sihat di Pasaraya Giant Subang Jaya hari ini.

Dzulkefly diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Khuzzan bahawa hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati beberapa kelas di tingkat atas sekolah itu terpaksa ditutup akibat masalah najis burung berkenaan.

Justeru itu, Dzulkefly berkata, Mohd Khuzzan hanya boleh mengemukakan pandangan dan segala maklumat terkini hanya boleh diberikan oleh pihaknya.

“Pengarah JKM Johor sentiasa update kami khususnya Datuk Dr Chong selaku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Kita kembali kepada dapatan kami samada keputusan klinikal dan simptom pesakit. Exco Johor (hanya) beri pandangan,” katanya lagi.

Media melaporkan sembilan kes baharu sesak nafas dilaporkan pada Isnin lalu membabitkan lapan pelajar dan seorang guru dari empat sekolah termasuk SK Tanjung Puteri Resort yang dirawat sebagai pesakit luar. -MalaysiaGazette